Gerbang Informasi Kerjaya Di Sektor Awam, Badan-Badan Berkanun Dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)

Friday, January 16, 2009

Panduan Asas Kepada Pencari Kerja

1. Apakah perkara penting yang perlu dilakukan sebelum anda menghadiri sesuatu sesi temuduga?

Persediaan dari segi mental dan fizikal adalah sangat penting untuk memastikan seseorang calon bersedia dalam sesi temuduga.

2. Apakah faktor asas berbentuk tekanan di dalam temuduga?

Keserasian adalah merupakan faktor asas berbentuk tekanan yang amat penting diwujudkan bagi memastikan sesi temuduga berjalan lancer dengan jayanya. Keserasian terjalin apabila calon dapat memenuhi kehendak panel temuduga manakala ahli panel pula merasa selesa berkomunikasi dengan calon.

3. Apa itu keserasian dan mengapa ia dianggap sangat penting?

Keserasian didefinisikan sebagai persefahaman dan hubungan baik dalam sebarang bentuk komunikasi di antara calon dan ahli panel temuduga. Kegagalan antara satu sama lain untuk menserasikan diri akan menyebabkan seorang calon itu dianggap lemah dan gagal untuk mendapatkan pekerjaan yang dipohon. Ianya dianggap sebagai tekanan kerana tidak banyak yang dapat ditonjolkan dan dipamerkan oleh seseorang calon dalam sesuatu sesi temuduga sekiranya kesesuaian tidak wujud.

4. Berapa lamakah tempoh yang diambil oleh sesebuah syarikat untuk melihat
kesesuaian anda dengan keperluan syarikat?

5 minit pertama adalah tempoh yang sangat kritikal dan amat penting kepada
panel penemuduga untuk mengenalpasti kesesuaian anda dengan keperluan atau
kriteria yang diperlukan oleh syarikat.

5. Apa yang perlu anda lakukan sebelum menghadiri temuduga?

Kenalpasti sebanyak mungkin berkenaan kehendak dan krititeria yang diperlukan majikan.
Lakukan penyelidikan berkenaan syarikat dan bakal panel penemuduga.
Buat persediaan berhubung soalan-soalan yang berkemungkinan ditanya berhubung dengan jawatan yang dipohon.
Latih tubi soalan-soalan tersebut dengan jawapan-jawapan yang tepat dan munasabah.
Jika anda mempunyai masa untuk melakukan latihan temuduga, LAKUKANNYA.
Jika anda mempunyai peluang untuk dirakamkan, LAKUKANNYA.
Kebolehan yang ditukarmilik. Pastikan bahawa anda menyatakan secara terang dan jelas mengenai kebolehan tambahan yang boleh ditukarmilik, serta contoh dan sebagainya. Contohnya adalah kemampuan membina dan menyelenggara laman web serta nyatakan alamat url laman web itu.

6. Apakah faktor penentu yang sering dititikberatkan oleh majikan, dan bagaimanakah ianya boleh disesuaikan dengan sesi temuduga?

Sikap yang positif dan yakin terhadap pekerjaan.
Cekap dan mahir dalam bidang pekerjaan yang dipohon.
Kebolehan berkomunikasi melalui penulisan dan pertuturan.
Kemampuan untuk berkomunikasi di pelbagai peringkat jawatan dan situasi.
Kebolehan untuk berfikir secara kritikal dan mempunyai kemahiran untuk untuk menyelesaikan kemungkinan permasalahan yang timbul.
Fleksibel dan kreatif dalam tugas.
Mempunyai kemahuan, kesungguhan dan motivasi diri yang tinggi.
Berkeupayaan untuk memimpin.
Boleh bekerja secara berkumpulan.
(Sentiasa beringat bahawa setiap sesi temuduga pekerjaan adalah peluang untuk anda menunjukkan dan mempamerkan kualiti dan keupayaan diri anda dengan jaya dan profesional kepada majikan. Maka, ianya adalah terpulang kepada anda untuk memperagakan kesemua kualiti dan ciri-ciri unggul yang ada pada diri anda.)

7. Mengapa setiap calon perlu membuat penyelidikan tentang profil syarikat?

Anda pastinya akan ditanya, “ Apakah yang anda ingin ketahui berkenaan profil atau objektif syarikat kami? Jika anda tidak mengenai soalan tersebut, anda seharusnya memberitahu panel penemuduga samada secara langsung atau tidak langsung tentang pengetahuan anda mengenai syarikat tersebut. Langkah ini menunjukkan anda mempunyai inisiatif sendiri dan tidak pasif dengan berusaha untuk menyelidiki dan mencari info berkenaan syarikat tersebut melalui pelbagai cara.

8. Bagaimana cara terbaik anda menyelidik info syarikat?

Melalui laporan tahunan syarikat
Melalui rakan atau kenalan yang bekerja di syarikat tersebut
Melalui pelanggan atau pembekal yang berurusan dengan syarikat tersebut.
Melalui pelbagai sumber media cetak seperti surat khabar, majalah, buku.
Melalui pelbagai sumber elektronik seperti laman web syarikat, forum umum dan enjin carian (Google, MSN, Yahoo)

No comments:

Post a Comment